Cicak Yang Tuli

Wednesday, September 22, 2010

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan diucapkan kepada semua warga Bumi Tarbiyah. Kita baru sahaja melepasi fasa pertama dalam bulan Tarbiyah, bulan Ramadhan iaitu fasa rahmat dan kita juga baru sahaja melangkahkan kaki kita ke dalam fasa yang kedua iaitu fasa keampunan. Namun, apakah kita telah dapat mencapai matlamat kita dalam bulan ini? Apakah terdapat perubahan positif atau peningkatan iman dalam diri kita? Sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri kita. Di sini, saya ingin membawa suatu cerita yang boleh kita jadikan pengajaran.

Ini sebuah cerita tentang cicak. Pada 27 hb tahun ke 13 cicak, Drazil, ketua kepada segala cicak-cicak di Lizard Village merancang untuk meraikan ulang tahun kelahirannya dengan menganjurkan sebuah pesta dengan mengadakan pelbagai pertandingan dan acara. Antara acara yang telah diadakan adalah memanjat pokok pinang yang telah dilumurkan dengan minyak. Sebanyak 25 ekor cicak telah menyertai acara ini dan cicak-cicak yang lain hanya menjadi penonton. Apabila wisel dibunyikan pada jam 8.00 pagi, semua cicak-cicak berlumba untuk naik ke puncak pokok pinang. Baru sahaja acara bermula, sudah ada cicak yang telah tergolek, terjatuh dan menangis dek tidak tahan dengan licinnya minyak. Pada jam 12 tengah hari, hanya tinggal 5 ekor cicak sahaja. Terdapat sebahagian penonton yang cuba untuk menjatuhkan semangat cicak yang masih mencuba untuk naik ke puncak. “ Sudahlah tu, mesti tak dapat sampai ke puncak”, “Turun sahaja, mengaku kalah saja”, lalu hampir semua cicak hilang semangat kecuali seekor cicak yang bernama Kubing. Kubing masih mencuba untuk memanjat pokok pinang itu lagi walaupun disogok dan tidak mendapat sokongan. Tepat jam 2.46 petang, Kubing berjaya sampai ke puncak pokok pinang. Semua cicak-cicak di Lizard Village terkejut. Apabila diselidik, ditemu ramah dan di tanya tentang rahsia kejayaan, Kubing tidak mempunyai sebarang keistimewaan. Namun, dia hanya seekor cicak yang tuli.

Kita bayangkan jika kita berada disituasi yang sama seperti Kubing. Bagaimana dia dapat melawan segala kata-kata penonton yang cuba menjatuhkan semangatnya dengan memiliki telinga yang tuli? Kita andaikan penonton yang cuba untuk menjatuhkan tadi dengan nafsu kita. Bagaimana nafsu kita cuba untuk menghasut serta menjatuhkan kita supaya kita tunduk dengan nafsu kita? Terutama sekali dalam bulan Ramadhan ini. Cicak-cicak lain yang telah jatuh sejak dari bermulanya acara ibarat seorang manusia yang telah jatuh dan tunduk mengikut nafsu masing-masing tanpa mencuba dan berusaha melawannya. Contohnya, bazar Ramadhan setiap tahun, menyajikan kepada kita pelbagai jenis juadah. Hari ini, akibat tidak menjadi tuli kepada nafsu sebaliknya bertuankan nafsu, terdapat ramai insan yang membeli dengan banyak sehingga terjadinya pembaziran wang. Terdapat juga yang makan hanya sedikit dan akhirnya tong sampah juga menjadi kekenyangan menelan makanan. Andai kita fikirkan dan teringatkan saudara seIslam kita yang berada di luar sana seperti di Palestin, pasti kita tidak sanggup untuk melakukan pembaziran apatah lagi kekenyangan dengan mengikut kehendak nafsu semata-mata.


Di samping itu, jika kita tidak menjadi tuli kepada nafsu, daun kehormatan wanita pasti hilang, pendirian lelaki yang teguh pasti rebah dan jatuh, masalah-masalah sosial yang kita lihat dalam dada-dada akhbar hari ini seperti masalah pembuangan anak, kes-kes khalwat dan penzinaan tambahan lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia in juga pasti akan berlaku. Jika dapat kita terapkan wanita solehah yang diibaratkan seperti pokok semalu dan lelaki soleh seperti cendawan beracun masalah-masalah seperti ini pasti dapat kita elakkan. Andai Kubing berjaya kerana tuli telinganya kepada penonton yang mahu menjatuhkannya, mengapa kita tidak menjadi tuli kepada nafsu kita supaya kita berjaya sampai ke puncak ketinggian iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

0 comments: