KENANGAN SILAM MEMORI INDAH..BUMI TARBIYAH

Wednesday, August 19, 2009

Menulis bukanlah suatu tugas yang kugemari, kerana aku jarang-jarang mahu memikirkan perkara yang berat-berat dalam hidupku sepanjang berada di bumi tarbiyah empat musim yang lalu. Namun kini, entah mengapa tiba-tiba pula kurasakan aku mampu menulis untuk mengimbau kenangan silam, saat-saat indah bersama-sama adik-adik, teman-teman STAM dan guru-guru MANS yang sukses.


Apa khabar teman-teman STAM 2008, ku kira kalian semua tentu gembira yea…manakan tidaknya, yang berada di Pusat Dakwah bersedia untuk terbang di awan biru pada bulan Ogos nanti, sementara aku dan segelintir teman-teman sudah bersedia mengikuti Minggu Orientasi Haluan Siswa atau Minggu Silaturahim di USIM, UDM etc pada minggu ini. Namun aku percaya, kita semua memikul tanggungjawab yang sama, sebagai serikandi ummah peneraju kepimpinan masyarakat pada masa hadapan. Justeru, terasa gah juga seketika mendapat gelaran mahasiswa/i , namun aku percaya gelaran sahaja tidak memadai, aku juga harus mampu menjadi jurubicara ummah!

Teman-teman STAM dan adik-adiku yang dikasihi,


Perjalanan aku, baru sahaja bermula, untuk megenal apa itu dunia mahasiswa. Adakah perjalanan hidupku di alam kampus seindah mentari pagi, atau sesuram langit petang. Kalau aku bisa mengharungi seribu mehnah di bumi tarbiyah, mampukah diri ini mendepani arus globalisasi yang kian menggila dan mendominasi alam kampus dewasa ini? Mampukah aku…..?



Detik Indah Kenangan Silam…Bumi Tarbiyah. Sengaja kupilih tajuk ini untuk kutulis buat tatapan adik-adik, teman-teman mantan STAM dan tidak dilupai untuk Guru Sukses yang sangat kuhormati. Bersama-sama kalian semua pada musim 2008, sememangnya memberikan seribu satu kenangan indah yang sukar untuk kulupakan dalam hidupku. Tatkala ku merenung, slide show Kenangan Indah Bumi Tarbiyah, air mata ku bisa deras mengalir tanpa dapat kutahan-tahan! Emosi apa yang sebenarnya menguasai diriku? Mengapa aku menjadi seorang insan yang benar-benar berasa bertuah dikelilingi oleh insan-insan yang hebat yang menerajui KEMBAQ, Kem Smart Solat Bestari, Ibadah Camp TSI dan Program Kecemerlangan Pelajar JHEAINS.


Kadangkala, terlintas banyak persoalan dalam fikiranku…mengapa dan bagaimana aku bisa berada bersama-sama kalian menjayakan pelbagai program yang hebat-hebat pada musim 2008 yang lalu. Bagaimana kita semua bisa mencipta sejarah kejayaan diri kita sendiri tanpa berasa penat, lelah dan bosan! Kekuatan apa yang kita miliki sehingga guru-guru memberikan kepercayaan kepada diri kita semua menjayakan program yang bukan calang-calang di peringkat sekolah mahupun negeri.


Teman-teman, adik-adikku dan Guru Sukses...

Kini aku mula sedar…kini aku mula faham..kekuatan tidak lagi bergantung kepada fizikal semata-mata. Kekuatan tidak lagi bergantung kepada kehebatan IQ semata-mata. Kekuatan akan menjadi milik kita..apabila kita mampu menggabungkan semua kekuatan IQ, EQ dan SQ individu-individu dalam kumpulan demi menjayakan pelbagai program. Kini aku sedar mengapa guru sukses dan ayahanda yang penyayang tidak pernah jemu-jemu menjayakan apa-apa sahaja program pembangunan pelajar baik di bumi tarbiyah mahupun di sekolah-sekolah jiran tetangga MANS. Memang aku dan teman-teman benar-benar kagum melihat bagaimana kedua-dua insan ini mampu berkerja tanpa mengenal erti penat, tanpa mengenal erti kepayahan, dan sebaliknya bisa tersenyum biarpun diri penat, biar pun banyak mehnah dan tribulasi yang mereka hadapi untuk melakukan anjakan paradigma pelajar-pelajar dan guru-guru di bumi tarbiyah! Sekalung Tahniah.buatmu..guruku.


Teman-teman mantan STAM,


Kini kita bergelar mahasiswa, bukan? Seronok bukan diri diangkat menjadi jurbicara ummah! Namun adakah bekalan yang kita miliki selama ini sudah mencukupi untuk mengharungi satu lagi tahap kehidupan untuk bergelar siswazah? Mampukah kita semua menerajui program-program perdana di peringkat universiti seperti mana kita sama-sama telah lakukan di bumi tarbiyah? Sudikah kalian semua berkongsi suka, duka, idea dan pengalaman setelah kita semua berpisah merentasi pelbagai sempadan dan benua? Mampukah kita…

Buat Guru Sukses…






Terima kasih kuucapkan kerana telah banyak memberi perhatian kepada diri ini. Sememangnya aku tidak layak untuk menerima perhatian dan dorongan daripada mu, kerna masih banyak kelemahan diri ini yang perlu kuperbaiki. Kusedar siapa diriku, namun aku tetap menghargai setiap detik indah bersama-sama mu dan teman-teman menjayakan pelbagai program yang banyak memberi kekuataan kepada diri ini. Masih ku ingat, betapa kau sanggup turun ke DS semata-mata untuk memastikan persiapan makan minum peserta program kecemerlangan terlaksana dengan jayanya. Keperihatinan mu walaupun sedetik cuma, sudah cukup untuk diriku bersemangat menyelesaikan amanah yang diberikan tatkala itu . Sesungguhnya detik itu membuatkan diriku tertanya-tanya, mampukah aku berjumpa insan semulia dirimu pada masa akan datang. Terima kasih juga kerana banyak memberikan “hadiah” untuk diri ini. Tiada hadiah yang lebih indah melainkan kata-kata semangatmu…” Sebagai seorang ketua pasukan yang berinspirasi, kamu mampu menjadi contoh teladan kepada adik-adik kamu apabila berada di gelanggang. Kesungguhan diri mu akan menyuntik inspirasi yang maha hebat kepada seluruh pasukan untuk berjuang mencapai kemenangan” . Kini baru kusedar bahawa detik kemenangan bukanlah satu-satunya perkara yang ingin dikenang, tetapi kegigihan, inspirasi, kerjasama sepasukan itulah resipi kehidupan yang perlu kita bawa sebenarnya dalam gelanggang kehidupan! Kau memang benar-benar membuatkan aku terkedu, tatkala aku kembali meneliti bait-bait itu lewat karyamu yang kau utuskan padaku suatu masa dahulu. Sekalung kasih buatmu guru…memberikan daku wadah ilmu!
Buat adik-adik kesayangan di bumi tarbiyah…

Kudoakan agar kalian semua sukses melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diberikan kepada diri kalian. Aku amat berbangga melihat kejayaan demi kejayaan “sejarah baru” yang kalian ciptakan di bumi tarbiyah. Membaca coretan kalian di blog sukses ini benar-benar memberikan daku sumber inspirasi yang tidak kunjung padam, aura sukses seolah-olah sentiasa mengalir ke seluruh tubuh dan jiwaku tatkala membaca ayat-ayat cinta yang kalian tuliskan. Terima kasih kepada semua adik-adik yang mengenali diriku ini. Kebaikan kalian sentiasa terpahat di “hearty” dan akan kutuliskan puisi indah untuk kalian pada suatu hari nanti.

Sekian. Salam ukhuwah, salam rindu di medan perjuangan…

Catatan Puteri Impian, Mantan STAM 2008…

0 comments: